|
TARIKH PERISTIWA : 29HB SEPT 2006
TEMPAT : SEREMBAN
"Hari ini hari bertuah bagi saya kerana dapat jumpa Encik Mokhtar. Saya ‘dah guna kaedah ini untuk mengajar pelajar-pelajar saya semasa mengajar di SK Taman Tun Dr.Ismail Jaya di Shah Alam," demikian kata Cikgu Anita Zaila binti Abdul Latiff kepada saya, sebaik tamat sesi ceramah dan demonstrasi kepada guru dan pelajar mengenai kaedah Mokhdar di SK Seri Ampangan, Seremban, pada awal pagi Khamis 29hb Sept 2006.
"Pelajar sekolah ini?"
"Tidak. Dulu saya mengajar di SK Taman Tun Dr. Ismail. Saya mengajar subjek matematik untuk Tahun Satu dan Tahun Dua."
"Jadi cikgu memang cekap dengan kaedah ini?"
"Sebenarnya saya tak cekap, tetapi saya gunakan kaedah ini dalam kelas dengan bantuan murid yang telah ikuti bengkel intensif yang Encik Mokhtar jalankan."
"Macam mana dengan kesan terhadap pelajar-pelajar cikgu?"
"Hebat. Budak-budak ‘tu juga, budak yang ikuti bengkel intensif Encik Mokhtar ‘tu, anak orang besar syarikat Proton .. er .. kalau tak Proton, EON. Yang nama Razak .. "
"Kalau tak silap saya, Razak ‘tu anak jiran saya sekarang ‘ni, rumah kami sekarang bersebelahan di Country Homes, Rawang. Masa dia ikuti program ini, dia pelajar Tahun 4. Dia memang CEO, kalau tak Perodua, Proton Edar."
"Adiknya nama Amirul?"
"Kalau tak silap, adiknya Amirul ‘tu saya bawa ke MHI TV3 dua atau tiga tahun lepas untuk pamirkan kemahirannya ... usianya tujuh ketika itu ..."
"Memang budak-budak ‘tu teramat pintar, sekarang pun saya dengar mereka jadi pelajar top."
"Beginilah cikgu, boleh tak jika cikgu tolong tulis tentang apa yang cikgu beritahu saya ‘ni, saya nak masukkan maklumat cikgu ‘ni ke dalam laman web saya," kata saya sambil menyerahkan sehelai kertas berukuran A4 kepadanya yang kebetulan berada di dalam tangan saya.
"Tentu sahaja boleh."
Beliau yang sarat mengandung meminta diri buat seketika. Tak lama kemudian beliau menyerahkan kepada saya kertas A4 tersebut. Inilah yang beliau catatkan: "Nama: Anita Zaila bt Abdul Latif. Guna kaedah: 1998 - 2001 di SK Taman Tun Dr.Ismail Jaya, Shah Alam. Mengajar Tahun 1 dan 2 Subjek Matematik. Gunakan kaedah ini di dalam kelas dengan bantuan anak muria yang mengikuti bengkel. 50% murid dalam kelas mengetahui kaedah itu. Keputusan exam - sangat cemerlang. Antara murid yang cemerlang: 1. Nurul Ellmy bt Abd Razak, 5A (UPSR). TKC (Tengku Kurshiah College) sekarang. 2. Nur Atikah bt Mokhtar. 5A UPSR - MRSM. 3. Nadia bt .... 5A (UPSR) - MRSM.

Setelah menyerahkan catatan di dalam kertas A4 tersebut, beliau menyerahkan sehelai lagi kertas berukuran A4, iaitu borang bagi mendaftarkan dua orang anaknya untuk mengikuti program bengkel intensif yang saya jadualkan akan di adakan di Seremban dari 26hb Nov hingga 3hb Disember 2006 di Seremban.
Catatan: Didapati kemudiannya bahawa pelajar-pelajar yang dimaksudkan oleh Cikgu bukanlah anak-anak jiran saya yang juga merupakan CEO sebuah syarikat yang berkaitan dengan pembuatan dan pengedaran motokar kerana anak-anak jiran saya mengikuti program yang diadakan di Country Homes, Rawang, pada 2003 manakala berdasarkan catatan Cikgu Anita, dipercayai bahawa pelajar-pelajar dimaksudkan telah menjalani bengkel masa cuti yang diadakan di SK Taman Tun Dr.Ismail Jaya pada tahun 2000 iaitu tiga tahun sebelumnya. Pengesahan mengenai perkara ini akan dibuat kemudian.
TARIKH PERISTIWA : JANUARI 2006
TEMPAT : SMA (BISTARI) JAIS, SUBANG JAYA
Tarikh 26hb Jan 2006 merupakan tarikh yang amat bermakna bagi seorang ‘guru’ sepertiku. Jika di sebelah paginya semangat perjuanganku melonjak kembali selepas mendengar pengakuan Pengetua SMS Selangor yang seronok menceritakan tentang kemahiran anaknya menguruskan fakta-fakta numerical dan kepada Ketua Panitia Sains dan Matematik sekolahnya, malamnya, tanpa kuduga, aku bertemu pula dengan tiga orang pelajar yang pernah mengikuti program Bengkel Intensif Kaedah Mokhdar selama lapan ke dua puluh hari.
Pada kira-kira jam 3.00 petang hari itu, aku singgah di Sekolah Menengah Agama Bistari JAIS di Seksyen 5 di Subang Jaya. Selepas berjumpa Pengetua, beliau meminta aku berbincang dengan Penolong Kanan yang juga merupakan seorang guru Kimia. Mungkin demonstrasi yang kubuat dengan menulis sekian banyak fakta kimia di samping fakta biologi, fizik, matematik dan matematik tambahan yang ada di dalam mindaku, di samping keupayaan mengingat nombor kad pengenalan yang ditulis oleh beliau dengan imbasan pandang tak lebih daripada 0.25 saat, membuatkan beliau bersetuju mengaturkan program ceramah pada malam itu juga, kerana sekiranya dijemput kemudian, pihak sekolah dikenakan bayaran seperti yang biasa dikenakan oleh konsultan-konsultan lain.
Rupa-rupanya lebih daripada 1/3 pelajar-pelajar sekolah tersebut yang pernah terdedah dengan kaedah Mokhdar malah ramai yang menggunakannya. Tetapi bila kutanya siapa yang paling cekap menggunakan Mokhdar di antara mereka, dengan pantas mereka menyebut beramai-ramai nama ‘Aleeya’.
Sebaik beliau bangun, aku terus mengenalinya walaupun dia berdiri jauh daripadaku. Aleeya dan kesemua empat orang adik dan kakaknya, yang merupakan anak seorang tokoh korporat, adalah antara peserta Bengkel Mokhdar yang paling menonjol bakat mereka. Bukan sahaja mereka cekap mencongak menggunakan sebutan Mokhdar, malah adiknya yang berusia 5 tahun ketika mengikuti bengkel itu cekap menguasai darab 2 ke 19 walaupun bengkel baru memasuki hari keempat.
Malam itu aku menguji Aleeya dengan menulis 20 angka dan meminta beliau mengingatnya. Dia diberi tepukan bergemuruh oleh pelajar yang memenuhi dewan setelah dengan mudah menyebut semula nombor-nombor tersebut.
Sebaik tamat majlis, tiba-tiba dua orang pelajar meluru ke depan mendapatkanku.
"Cikgu, kenal kami lagi tak?"
Kuperhatikan mereka. "Cikgu minta maaf, rasanya tak kenal lagi."
"Saya Fitriah dan ini Sakinah!".
Mendengar sahaja nama tersebut, aku terus terjerit. "Ya Allah!! Sudah lama cikgu mencari kamu. Dah besar kamu rupanya!!"
Fitriah dan Sekinah telah mengikuti Bengkel Intensif Kaedah Mokhdar semasa dibuat di Sekolah Kebangsaan Binjal, Meru. Anak seorang peniaga kecil dan juruteknik (kini telah menjadi seorang jurutera) ini ketika itu baru berusia 7 tahun. Mereka bukan sahaja cekap mencongak dan mengingat fakta-fakta kimia, biologi, fizik, geografi, sejarah dsb yang kupetik dari buku-buku teks tingkatan empat, lima dan enam, tetapi juga cekap memahami dan menyelesaikan masalah matematik tingkatan tiga, empat dan lima walaupun ketika itu baru berusia 7 tahun dan baru mengikuti Bengkel Intensif Mokhdar lebih kurang 10 hari.
Semasa dijemput untuk siaran langsung Ramaja Anak Malaysia di TV2 pada suatu hari dalam tahun 2000 dahulu, atas permintaan PRO yang mewakili penerbit, aku membawa mereka bersama untuk muncul di dalam siaran langsung tersebut, bagi menunjukkan kecekapan dua anak kecil tersebut menyelesaikan masalah-masalah di dalam subjek hukum indeks, pecahan algebra, trigonometri, logaritma dan sebagainya.
Pada malam itu mereka datang beramai-ramai bersama keluarga ke rumahku bagi membuat ulangkaji takut terlupa apa yang mereka telah pelajari. Sebelum itu, ibu bapa keduanya membawa mereka ke supermarket, membeli pakaian yang paling mahal yang pernah mereka beli untuk anak mereka, untuk kemunculan mereka di TV.
Tiba-tiba bila aku telah berada di dalam studio, penerbit memaklumkan kepadaku yang beliau telah mendapat arahan daripada KSU bahawa hanya remaja sahaja dibenarkan masuk ke studio kerana program tersebut dikhaskan untuk remaja.
Aku terkedu, namun cuba juga berhujah, bahawa walaupun mereka bukan remaja tetapi mereka mampu menyelesaikan masalah yang biasanya remaja pun menghadapi kesulitan untuk menyelesaikannya. Lagi pula semasa aku dijemput, petugas RTM sendiri yang menghubungi aku yang meminta aku membawa pelajar-pelajar yang mahir dengan kaedah Mokhdar bagi membuktikan yang kaedah Mokhdar adalah benar-benar berkesan untuk peningkatan prestasi matematik dan sains.
Namun kata putus KSU akhirnya tetap mengatakan yang mereka tidak boleh masuk studio. Terasa mahu kuboikot sahaja program tersebut, namun jika itu aku lakukan, sudah tentu sahaja ia akan merencatkan perjuangan dan periuk nasiku sendiri, maklumlah, kaedah Mokhdar memerlukan publisiti daripada semua media agar kehadirannya dirasai di dalam masyarakat dan faedahnya dinikmati. Dalam keadaan sedemikian, aku terpaksa akur, dan di dalam hati, hanya Allah sahaja yang tahu betapa hebatnya kemarahan yang akan aku hadapi daripada kedua ibu bapa pelajar yang tidak berdosa itu. Namun sempat juga aku mencuri menyebut nama kedua-duanya dan latar belakang mereka semasa menjawab soalan yang dikemukakan oleh pengacara.
Sebaik keluar dari studio, teruklah aku dilanyak oleh kedua ibu bapa kanak-kanak tersebut yang merasakan bahawa
aku mempermainkan mereka dan anak-anak mereka manakala orang kampung pula semua sudah tahu. Aku tidak menyalahkan mereka dan mereka juga tak lama selepas itu menghubungiku meminta maaf di atas keterlanjuran mereka.
Pertemuan semula dengan mereka menyebabkan aku sebak. Kucuba sembunyikan perasaan rasa sebak yang amat hebat tersebut daripada pancaran air muka dan gerak geriku, walaupun kuluahkan secara verbal peri betapa terharunya aku dengan pertemuan semula tersebut. Kepuasan tidak terhingga dapat kunikmati apabila mereka memberitahu yang mereka mendapat 5A di dalam UPSR. Rakan-rakan mereka yang mengerumuni kami pula memberitahuku yang mereka adalah antara pelajar paling top di dalam tingkatan. Mereka pula dengan bangganya mengakui bahawa amalan kaedah Mokhdar adalah antara pemangkin utama yang membantu menghasilkan kecemerlangan mereka. Manakala ayah Sakinah pula, En.Husrin, yang kebetulan malam itu berada di situ untuk melawat Sekinah yang mengidap selsema, bangga menceritakan betapa selepas mengikuti bengkel intensif kaedah Mokhdar dulu, Sekinah akhirnya ‘malas’ menjawab soalan oral yang dilontarkan oleh guru di dalam kelas kerana ingin memberi peluang kepada pelajar-pelajar lain menjawab sama.
"Cikgu selalu beritahu audien cikgu bahawa dengan mempraktikkan kaedah Mokhdar, kemahiran pelajar berusia enam, tujuh atau lapan tahun memahami dan menyelesaikan masalah matematik tingkatan satu, dua, tiga, empat dan lima adalah perkara biasa, dan cikgu selalu sebut nama kamu sebagai antara bukti-bukti cikgu. Cikgu seronok sangat sebab malam ini kita berjumpa lagi."

TARIKH PERISTIWA : OGOS 2005
TEMPAT : SK SIMPANG EMPAT, PERLIS
"Mokhtar kenal kakak ‘tak?"
Saya merenung muka wanita yang agak berisi. Saya tidak dapat mengecam beliau, namun berpandukan kepada lokasi pertemuan kami iaitu SK Simpang Ampat, Simpang Ampat, Perlis, yang terletak berdekatan Bohor Mali di mana di situ terdapatnya rumah yang telah saya kunjungi empat atau lima kali sewaktu bertugas sebagai Timbalan Pendakwa Raya Malaysia bagi negeri Kedah pada tahun 1993 dulu, serta keramahan beliau, saya dapat mengagak dengan tepat siapa beliau walaupun saya terlupakan namanya.
"Bohor Mali," kata saya, merujuk kepada kampung di mana terletaknya rumah itu.
"Ingat juga pada kakak. Telah lama kami cari Mokhtar. Dua tiga tahun lepas kami simpan nombor yang Mokhtar beri di TV3, tapi tak dapat hubungi kerana sentiasa engaged, sampailah nombor telefon itu hilang. Syukur kakak kerana dapat jumpa Mokhtar semula. Sebenarnya perkataan pertama yang ingin diucapkan oleh Abang Man dengan kakak bila cuba menghubungi Mokhtar ialah: terima kasih banyak-banyak kerana jika tidak kerana Mokhtar, anak kami yang ‘dah jadi akauntan itu tidak akan berada di tempatnya sekarang."
Bila beliau menyebut nama Bang Man, segera saya teringat kepada peristiwa lebih kurang empat belas tahun lepas. Ketika itu Bang Man, atau Cikgu Osman, adalah kaunselor di Sekolah Menengah Teknik Arau. Beberapa orang rakan mengaturkan ceramah saya berkenaan Mokhdar dan motivasi untuk pelajar di sekolah beliau. Kandungan ceramah dan gaya persembahan saya menarik hati beliau, lalu beliau mengaturkan beberapa sesi ceramah kepada pelajar-pelajar di sekolah-sekolah berdekatan dengan rumah beliau, atas semangat ingin turut berkongsi melaksanakan perjuangan memburu impian untuk bangsa : membantu melahirkan bangsa yang paling pintar di dunia di dalam bidang matematik, sains dan teknologi. Di dalam ceramah-ceramah yang diadakan pada luar sesi persekolahan, anak-anak beliau turut sama mengikuti ceramah saya.
"Memang ‘dah bakal akauntan ‘tu, tanpa Mokhdar pun dia pasti jadi akauntan," kata saya.
"Tak!" Ustazah Bariah terus menyanggah. "Sebelum dia ikuti ceramah-ceramah Mokhtar, dia langsung tidak meminati matematik, apa lagi hafaz sifir. Tapi selepas beberapa kali ikuti ceramah Mokhtar, kami tengok dia mula meminati angka dan kemudiannya matematik dan seterusnya minat dan prestasinya di dalam matematik berubah sama sekali!"
Sekali lagi kenangan saya kembali ke 1993 dulu, di mana Cikgu Osman mengkritikku setelah melihat risalah yang aku terbitkan dan saya poskan ke beberapa buah sekolah-sekolah menengah dan rendah di Kedah dan Perlis, mencanangkan kaedah Mokhdar sebagai kaedah yang pasti akan melahirkan bangsa yang pintar di dalam matematik dan sains. Ketika itu aku sudah mengambil keputusan untuk meletak jawatan bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha menyebarkan Mokhdar. Cikgu Osman seperti marah kepadaku kerana terlalu menunjukkan keyakinan yang kaedah itu akan melahirkan bangsa yang paling pintar di dalam bidang matematik dan sains sedangkan beliau melihat aku lebih kepada seorang motivator yang mampu membakar semangat juang anak bangsa menerusi ceramah dan demonstrasi yang memukau perhatian audien.
"Abang Man di mana sekarang?"
"Dia sekarang jadi pensyarah di Maktab Perguruan Kangar di Bohor Pulai," kata beliau sambil menekan butang-butang telefon bimbitnya. "Abang ... cakap dengan Mokhtar," kata beliau di telefon sambil menyerahkan telefon bimbitnya kepadaku.
"Assalamualaikum," kataku.
"Tuan. Ungkapan pertama yang telah lama saya simpan untuk tuan sejak sekian lama ialah, terima kasih tidak terhingga kerana jika tidak kerana tuan, anak saya tidak jadi seorang akauntan sekarang."
"Memang ‘dah bakal akauntan ‘tu," ujar saya, mengulang kembali apa yang telah saya katakan kepada isteri beliau.
"Tidak. Memang sebelumnya anak kami ‘tu langsung tidak meminati matematik. Selepas dia mulai menyanyikan lagu ‘wa li go ga li pam’ ‘tu, minat dan prestasinya di dalam matematik telah berubah secara mendadak. Terima kasih, tuan. Mudah-mudahan Allah memberkati segala usaha tuan dan menjayakan segala impian tuan untuk anak bangsa."
Hubungi kami O3-60935815; 019-2605162; 017-3973928 atau e-mail mokhtar@five-o-eight.com |