Pelajar-pelajar yang dimaksudkan di sini ialah pelajar yang tidak mempunyai asas Mokhdar sama sekali. Kemahiran utama yang disasarkan untuk mereka ialah penguasaan darab asas sifar ke dua belas, dan operasi asas tambah satu digit dengan satu digit, pada tahap yang optimum. Kamahiran penguasaan darab dan tambah asas pada tahap optimum bererti, semua bahagian-bahagian sifir yang diingat oleh peserta adalah secekap mereka mengingat nama emak dan ayah mereka, dan menterjemahkan ke bahasa biasa sepantas kilat dengan tidak ada kelenggahan walaupun satu per sepuluh saat.
Peserta juga dilatih supaya menggunakan sebutan Mokhdar seolah-olah Mokhdar adalah ‘bahasa ibunda’ mereka, supaya mereka dapat mengvisualkan nilai angka atau simbol tanpa perlu mengakses atau merujuk semula kepada bahasa yang menjadi bahasa kebiasaan mereka sebelumnya. Hanya bila jawapan diperoleh, itu pun untuk keperluan komunikasi dengan orang lain, mereka menterjemahkannya kepada sebutan di dalam bahasa biasa. Untuk jawapan secara bertulis, mereka tidak perlu menterjemahkan semula kepada bahasa biasa serta guru juga tidak ada kesempatan untuk melihat apa yang berlaku di dalam minda mereka.
Seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Mentakab, pada tahun 2002, memberitahu saya tentang seorang kanak-kanak yang amat terkenal di kalangan guru-guru di Mentakab, kerana kepintarannya di dalam matematik, bernama Muffaddal, berketurunan India Muslim, bapa beliau seorang doktor dan datuk dan ahli-ahli keluarganya memiliki rangkaian kedai Johar Textiles, yang menjual kain dan karpet, di Temerloh, Mentakab dan Bera.
Anak ini dikatakan amat pintar tetapi dikatakan ‘sewel’, kerana bila menjawab soalan bertulis, kepantasannya menyelesaikan masalah matematik jauh meninggalkan pelajar-pelajar lain di belakang. Anak ini kali pertama mengikuti Mokhdar ketika berusia lima tahun, bila program ini diadakan sekali lagi di Temerloh, ibunya menghantarnya sekali lagi untuk mengikuti program susulan, bersama dengan adiknya, ketika belajar di dalam Tahun Satu. Di situ dia mengikuti program bersama dengan kanak-kanak lain walaupun dia telah menguasai darab asas, bagaimanapun dia diberi latihan tambahan mencongak darab dua digit dengan dua digit.
Rupa-rupanya dia dikatakan pintar kerana mampu menjawab bagi dua digit didarab dengan satu digit, walaupun jawapannya diberi di dalam bahasa Inggeris sekiranya ditanya secara oral. Apa yang menyebabkan dia dikatakan sewel ialah, sebelum menjawab di dalam bahasa Inggeris, dia menyebut kuat-kuat langkah mengiranya (yang sama dengan langkah mengira yang diajar di sekolah) tetapi menggunakan sebutan Mokhdar (misalnya, 64x8: pa ka gaw, na ka pak : pako ba gaw = madu; five hundred and twelve). Cikgu yang tidak pernah mendengar sebutan sedemikian terasa pelik dan menyangka yang dia menggunakan bahasa dari planet atau alam lain, misalnya alam jin atau bunian. Lantas dia dianggap ‘sewel’. Namun setelah Muffadal memasuki program ini buat kali ketiga, dia dilatih bersungguh-sungguh agar sebutan Mokhdar hanya digunakan sebagai bahasa minda dan bukan untuk komunikasi orang lain. Barulah, selepas itu, cikgu-cikgu yang menyangka yang Muffadal adalah kanak-kanak super-pintar tetapi ‘sewel’ sebenarnya adalah kanak-kanak normal dan sempurna seperti kanak-kanak lain, tetapi tidak menyembunyikan sebutan Mokhdarnya semasa membuat congakan dan menyelesaikan masalah matematik. Kesemua adik-adik Muffadal dan sepupunya yang turut mengikuti program ini kemudian adalah kanak-kanak yang pintar bukan sahaja dalam subjek matematik tetapi juga semua subjek-subjek lain.
Selain daripada penguasaan darab ke tahap yang paling optimum, peserta juga dilatih mengingat fakta-fakta sains menggunakan sebutan Mokhdar, antaranya, jarak semua planet dengan matahari, panjang diameter semua planet, jumlah bulan di sekeliling semua planet, tarikh-tarikh penting sejarah misalnya tarikh-tarikh yang terdapat di dalam sejarah perjuangan Rasulullah S.A.W. dan tarikh lahir dan jadi Perdana Menteri bagi semua yang pernah menjadi Perdana Menteri Malaysia, fakta-fakta geografi seperti ketinggian semua gunung utama di dunia dan di Malaysia, panjang semua sungai, luas semua tasik, dsb.Ramai pelajar yang dapat mengingat semuanya ini dengan mudah dan kemahiran ini bakal dipamirkan oleh peserta di dalam majlis penutup, demonstrasi peserta dan penyampaian sijil yang akan diadakan pada hari terakhir Bengkel Intensif.
Hubungi kami O3-60935815; 019-2605162; 017-3973928 atau e-mail mokhtar@five-o-eight.com